Kenali kamus bola sepak Liga M, 5 'football lingo' paling popular dalam kalangan penyokong


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Pemain-pemain JDT meraikan jaringan ketika membenam KL City FC dengan keputusan 6-1 pada 3 Julai lalu.

LIGA SUPER semakin hampir menutup tirainya apabila tinggal beberapa sahaja baki perlawanan yang perlu dihadapi pasukan Liga Malaysia (Liga M) untuk menempatkan diri dalam kedudukan liga terbaik musim ini.

Sambutan liga musim ini diterima ramai meskipun Johor Darul Takzim (JDT) masih lagi mendominasi Liga Super buat sembilan kali berturut-turut.

Drama, aksi dan kehangatan Liga Malaysia itu tidak akan terpadam kerana itulah uniknya bola sepak negara ini yang masih mempunyai peminat sejati meskipun pasukan-pasukan Liga Super tidak gah seperti kelab -kelab Liga Perdana Inggeris (EPL).

JDT sudah berada di kelas tersendiri, tetapi pasukan seperti Selangor FC, Kuala Lumpur Citu, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan kelab-kelab lain turut tidak ketinggalan menghangatkan suasa bola sepak Malaysia.

Dengan itu, Majoriti senaraikan lima 'football lingo' paling popular dalam kalangan penyokong bola sepak Liga M:

BJ

Stadium Nasional Bukit Jalil.

1. Tahun ini Bukit Jalil

Ayat 'tahun ini Bukit Jalil' selalunya merujuk kepada pasukan yang pastinya akan beraksi di pentas final Piala Malaysia ataupun Piala FA.

Ini kerana venue akhir dua kejohanan itu selalu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang mana sudah ramai menjadi saksi beberapa pasukan dalam dan luar negara menjulang piala di stadium itu.

Ayat sebegini selalunya digunakan oleh penyokong Liga M selepas pasukan mereka melakukan perubahan atau membawa masuk pemain-pemain baharu.

2. Anak Jati

Isu anak jati ini pastinya tidak akan dapat diselesaikan apabila penyokong pasukan 'claim' kejayaan pemain itu kerana berasal dari negeri yang terlibat.

Sebagai contoh, kejayaan Arif Aiman di JDT kerana salah satu faktor dia merupakan anak kelahiran negeri Pahang meskipun tidak pernah beraksi bersama Sri Pahang FC.

Istilah anak jati ini mula bangkit selepas pemain-pemain ternama seperti Amri Yahyah, Safiq Rahim mula beraksi bersama JDT yang ketika itu menarik minat mereka untuk berbakti bersama Harimau Selatan.

JDT yang ketika itu baru diambil oleh TMJ mula merekrut pemain-pemain bintang daripada pasukan-pasukan Liga M sehingga timbul persoalan dalam kalangan penyokong di manakah pemain kelahiran Johor.

3. Ubi Muda

'Ubi Muda' sama juga seperti situasi anak jati, penyokong mula menggunakan istilah ini jika sesebuah pasukan itu banyak melahirkan pemain muda menerusi program pembangunan kelab.

Seperti contoh, Kedah banyak melahirkan ubi-ubi muda seperti Akhyar Rashid, Aiman Afif, Fadzrul Danel, Fayadh Zulkifli dan ramai lagi pemain lain.

Secara ringkasnya ubi muda sama seperti pemain muda cumanya penyokong menggambarkan ubi kerana selepas 'ubi' itu dimasak, kelab lain hanya tinggal ambil sahaja.

Akhyar

Akhyar pernah beraksi bersama Kedah sebelum menyertai JDT.

4. Pintu Belakang

Pada 2018, bintang Harimau Malaya, Akhyar Rashid dilaporkan menjadi buruan JDT selepas menjadi ejen bebas.

Kedah mengesahkan Akhyar menghantar permohonan untuk berpindah ke JDT secara rasmi.

Bagaimanapun Kedah menegaskan JDT cuba mendapatkan Akhyar tanpa sebarang hitam putih.

Dakwaan itu dibidas oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards yang menyatakan Akhyar sendiri mahu menamatkan kontraknya dan mahu berpindah ke pasukan Harimau Selatan itu.

Daripada isu itu timbul perkataan pintu belakang dalam kalangan penyokong Liga M sekiranya ada pasukan yang cuba mendapatkan pemain tanpa berurusan dengan pihak kelab.

5. Ref kayu

Umum mengetahui Liga Malaysia dikenali dengan kontroversi keputusan yang dibuat oleh pengadil yang dilihat tidak tepat.

Ref kayu merujuk kepada pengadil yang tidak tahu atau tidak mampu membuat apa-apa jika berlakunya sebarang kontroversi di dalam padang.

Perkataan kayu itu dilihat lebih baik oleh penyokong Liga Malaysia yang kaya dengan sifat sopan santunnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram